Youtube

Tuesday, January 8, 2013

Sabung Ayam / Laga Ayam

Oleh Dato' Haji Muhammad Ismail b. Salleh 

Satu daripada kegemaran orang-orang melayu ialah berlaga ayam atau menyabung ayam. Permainan ini, jika boleh dipanggilkan permainan, berasal beratus-ratus tahun malahan beribu tahun jika dikira ia telah wujud di zaman Kerajaan Langkasuka lagi.

Arena perlagaan ayam dipanggil
"bon"
 Arena ayam berlaga ini dipanggil "bon". Bon zaman dahulu merupakan sebuah lubang dua kali dalam yang dikorek bulat dengan garis lentang sepanjang 14 kaki di atas tanah. Bon sekarang tidak dikorek tanah lagi tetapi di atas keluasan yang sama kawasan itu dilengkongi dengan guni atau kain plastik sebagai dinding.
Ketua yang menjadi pengadil perlagaan ialah "Nai Bon". "Nai" ialah Tuan atau Ketua dalam bahasa Thai. Nai Bon ialah orang yang menentukan masa pusingan, jumlah pusingan dan syarat-syarat lain yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Satu-satu pusingan itu dipanggil "Air". Satu air berlangsung selama lima belas minit iaitu selama sebiji batil yang berlubang kecil tenggelam di dalam sebuah pasu air. Sekarang ini batil itu digantikan dengan tempurung sahaja.

Sebelum memulakan perlagaan, ayam-ayam yang hendak bertanding dipadankan terlebih dahulu. Banyak pasang dipadankan serentak di dalam bon. Pasang-pasang yang hendak berlaga dipegang dan diletakkan menghadapi satu sama lain oleh tuannya atau juara masing-masing. Juara ialah orang yang membawa ayam masuk ke dalam bon, boleh jadi tuan ayam itu sendiri atau orang lain yang dipercayai oleh tuan ayam. Persetujuan antara tuan ayam dan juara-juara dengan pasangan masing-masing perlu diperolehi dengan jelas. Nai Bon memerhatikan persetujuan-persetujuan itu dihormati kelak.

Selepas upacara berpadan, ayam-ayam diambil semula dan bersiap diri untuk berlaga. Masa ini tuan-tuan ayam akan berusaha menambah susuh, membalut susuh, meletakkan taji dan sebagainya supaya ayam-ayam berlaga sama padan dan sama sesuai seperti yang dipersetujui tadi. Menambah susuh ialah melekatkan susuh yang diambil dari ayam yang telah mati tetpi susuh itiu masih keras, kuat dan tajam. Susuh yang diraut dari tanduk tidak menjamin keberkesanannya seperti susuh ayam tua. Jika seekor ayam itu mempunyai susuh yang terlalu panjang dari lawannya, susuhnya hendaklah dibalut sedikit.
Ayam-ayam itu dibasuh dengan air biasa. Air ini dibasahkan kepada sehelai kain dan dengan kain itu seluruh badan ayam dari kepala hingga ke kakinya dibasuhkan. Bulu-bulu sayap, bahagian bawah sayap dan ekornya digosok hingga basah kuyup. Rengkung ayam dijolok dengan bulu ayam supaya keluar lendir yang boleh mengganggu pernafasannya.
"Bon" mempunyai garis lentang 14
kaki dan ketinggian 2 kaki dibuat
dari kain guni atau plastik.
Sebelum berlaga tuannya membuat persediaan dirumah secara memandikan ayam-ayam laganya dengan air yang bercampur akar-akar kayu dan daun-daun ubat mengikut petua masing-masing. Ubat ini dipanggil pakan dan dapat menguatkan kulit ayam. Satu dari ubatnya ialah teras kayu keluat, sejenis kayu hitam seperti arang yang didapati di Petani, diasah-asah dan dilumurkan ke kulit ayam sabung. Biasanya sebelum turun berlaga tuan ayam akan memberi ayamnya minum seteguk air keluat ini.

"Nai Bon" atau ketua
perlagaan berdiri
menentukan syarat
perlagaan dihormati
seperti saiz ayam dan
masa pusingan.
 Setengah juara membungkus kelapa parut dengan kain kemudian dipedapkan ke atas tungku panas dan didemahkan pula di seluruh badan ayam semalam-malaman sebelum hari perlawanan. Ini pun boleh "mengkebelkan" kulit ayam dan menjadi pakan yang baik. Kulit yang berpakan begini tidak mudah ditembusi jarum. Tetapi apabila ayam berada di bon di bawah awasan Nai Bon, ayam-ayam dibenarkan basuh dengan iar biasa yang disediakan Nai Bon sahaja.

Sebelum dilepaskan ayam ke dalam bon atau arenanya,nai Bon akan meminta juara-juaranya membawa ayam masuk ke dalam bon membuat persetujuan atau tidak untuk mengadakan perlagaan cubaan terlebih dahulu. Cubaan ini berjalan selama dua atau tiga minit. Dalam istilah perlagaan ayam masa percubaan ini dipanggil "Jum". Jika ada ayam yang lari dalam masa "Jum" ini atau keriau yakni menjerit kesakitan akibat serangan lawannya, perlagaan dibatalkan dan dikira tak aci, dan tuan ayam yang kalah tidak dikenakan sebarang penalti. Selepas percubaan ini atau "jum" tadi, perlagaan diteruskan sehingga satu air. Permulaan perlagaan yang rasmi itu diisyaratkan oleh Nai Bon dengan teriakannya, "Aci, sekarang Aci".

Kadang-kadang juara dan tuan-tuan ayam bersetuju meneruskan perlagaan rasmi dengan tidak melalui masa percubaan dan ini dipanggil persetujuan "Lepas Ekor" iaitu berlaga terus. Nai Bon bolehlah meletakkan syarat-syaratnya berlawan terus. Syarat-syarat Nai Bon ialah mengisytiharkan masa satu air dan jumlah pusingan yang telah dipersetujui. Selepas cukup pusingan atau "Air"nya atupun diketahui alah menangnya, perlagaan dihentikan.

Satu-satu perlagaan pernah berlangsung sampai salah seekornya lari, menjerit kesakitan atau jatuh mati. Sekarang satu-satu perlagaan ditetapkan untuk enam air sahaja walaupun ayam-ayam masih berdegil menunjukkan kehandalan masing-masing, perlagaan itu direntikan dan dikira seri.

Selepas satu air atau 15 minit ini, ayam yang berlaga direhatkan. Juara atau tuan ayam akan memulihkan ayamnya masing-masing. Ayam akan dibasuh dari debu dan kotoran, mencuci darah, mencuci rengkung dengan bulu ayam, menebuk kulit yang dimasuki angin, mendemah luka dan bengkak-bengkak, menjahit luka dan sebagainya. Waktu rehat ialah selama 15 minit juga.

Nai Bon menyediakan sekeping tin atau belanga di atas api yang sentiasa bernyala dan juara-juara ayam akan menekankan kain-kain lembut di permukaan tin atau belanga itu kemudian mendemahkan kain panas ke tempat-tempat luka dan bengkak ayamnya. Juara juga akan mendemah di merata-rata bahagian badan ayam terutama di muka, di bawah sayap dan di tapak kaki sebagai menyegarkan ayam.

Dalam sesuatu perlagaan, ayam yang kena tikam dengan susuh, atupun "Kena Patah" sehingga jatuh boleh diangkat oleh Nai Bon supaya berdiri semula dan berlawan. Jika selepas tiga kali ditolong begitu ayam yang jatuh tidak dapat berdiri lagi, ayam itu dikira kalah dan perlagaan dihentikan. "Kena Patah" bermaksud terseliuh atau tersilap urat di leher, penangan susuh atau betis lawannya. Ayam yang "Kena Patah" biasanya berpusing-pusing di dalam bon seperti kehilangan pedoman oleh terlalu sakit dan setengahnya berterbangan hingga keluar bon. Ayam ini ditangkap oleh juaranya dan ditempatkan di dalam bon semula supaya bertarung terus. Ini dilakukan jika ayam yang "Terkena Patah" tidak "kiok" iaitu menerbitkan suara. Jika "kiok" ayam itu dikira kalah dan perlagaan direntikan.

 Ayam-ayam untuk perlagaan dipelihara khusus dari baka-baka yang biasa menang dalam perlagaan dahulu-dahulu. Baka-baka ayam yang biasa disebut antaranya ialah Kimin, To-on, Kamnyi, Eluang, Eset, Edang, Elau, Ekiau, Biring, Cempa dan lain-lain. Baka-baka ini dikenali dari warna-warna bulu, paruh, kuku,mata dan sisik kakinya serta saiz.
Tempurung berlubang
kecil diletakkan di
dalam sebuah timba
berisi air. Satu "air"
iaitu masa 15 minit
menentukan masa
satu pusingan perlagaan.
Ayam-ayam yang dipelihara untuk berlaga ini diberi pula latihan-latihan jasmani, diberi makan ubat-ubat, diberi makan padi dan gandum, katak dan daging yang dipercayai boleh menguatkan ayam-ayam tersebut. Ayam-ayam sekarang banyak menelan pil kalsium.

Latihan jasmani ayam-ayam ini mengikut kepakaran tuannya. Ada yang melepaskan ayam ke dalam kolam supaya berenang beberapa minit setiap hari. Ada pula yang meletakkan makanan ayamnya di tempat tinggi supaya ayamnya dapat meriadahkan leher dan ada pula yang mengajar ayamnya melompat-lompat dan menendang ayam lain yang dipegang oleh tuannya.

Air akar kayu yang dimandikan ayam atau diberinya minum ialah rebusan dari pelbagai ramuan seperti akar seruntun, kunyit, limau purut, akar serta daun dan batang pokok pakan ayam daun pokok susuh ayam betina, lada hitam, bawang merah dan lain-lain lagi. Ayam-ayam yang terlalu panas kerana terlalu banyak memakan ubat dan mandi akar-akar kayu, diberi makan pisang dan isi-isi siput supaya badannya sejuk dan sihat.

Perlagaan ayam atau menyabung ayam ini diharamkan oleh kerajaan negeri sejak 1909 kerana melarang penduduk-penduduk melakukan seksaan terhadap binatang-binatang dan menghapuskan perjudian yang timbul dari perlagaan ayam.

Sumber :  http://www.mykedah2.com


No comments:

Post a Comment